PASIR GUDANG, 17 Nov – Penuntut dari negeri ini di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara terutamanya mereka yang menyertai Duta Jauhar digesa memperkasakan semangat jati diri dan sikap bertanggungjawab terhadap komuniti setempat.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dengan nilai murni yang tertanam di dalam sanubari, mereka secara tidak langsung boleh menjadi wadah membantu kerajaan bagi membangunkan negeri ini.

“Penuntut yang dilantik selaku Duta Jauhar memainkan peranan sebagai ejen perubahan, iaitu mereka boleh melibatkan diri dalam pelbagai program berbentuk kemasyarakatan yang selari dengan dasar dilaksanakan kerajaan.
“Hingga kini, program Duta Jauhar yang disertai 330 penuntut daripada 16 IPT di negara ini telah memberi manfaat kepada lebih 2,000 ahli masyarakat setempat di negeri ini,” katanya selepas merasmikan Projek Transformasi Ekonomi dan Modan Insan (Transeko-Mi) Duta Jauhar, di sini kelmarin.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM1.5 juta bagi menjayakan 22 projek di bawah program tersebut dan salah satu daripadanya adalah Transeko-Mi, UKM yang menyasarkan golongan ibu tunggal dan belia di Pangsapuri Taman Desa Rakyat, di sini.

“Projek ini dijalankan selama tujuh bulan, iaitu dari 17 Mei lalu hingga hujung tahun ini. Kita harap banyak pihak akan mendapat manfaat daripada projek ini,” katanya.
- UTUSAN MALAYSIA
0 komen:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen yang diberikan.