LEDANG 19 Mac – Semua pejabat kerajaan, pertubuhaan bukan kerajaan (NGO) dan premis perniagaan di daerah ini diminta memasang dan mengibarkan bendera daerah Ledang yang dilancarkan semalam di bangunan masing-masing.
Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramim berkata, arahan tersebut berkuatkuasa terutama di bangunan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri lebih-lebih lagi menjelang Istiadat Kemahkotaan Sultan Johor pada Isnin ini.
“Bendera ini perlu dikibarkan kerana menjadi lambang dan kemegahan penduduk Ledang apatah lagi ini kali pertama Ledang mempunyai bendera sendiri. Sebelum ini di Johor daerah yang memiliki bendera hanya Segamat, Muar dan Batu Pahat.
“Sebelum diterima sebagai bendera rasmi daerah Ledang, kita menerima 176 reka cipta melalui pertandingan yang dianjurkan pada 26 Jun hingga 15 September 2012,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bendera Daerah Ledang di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di Tangkak, di sini semalam.
Pelancaran itu disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak; ADUN Gambir, Datuk M.Asojan dan Yang Dipertua Majlis Daerah Tangkak (MDT), Mohd. Masni Wakiman.
Ab. Han berkata, bendera itu yang mempunyai tiga warna dengan beberapa lambang mempunyai makna tersendiri dengan merah melambangkan semangat keberanian dan jati diri warga Ledang dan biru berbentuk tiga segi membawa maksud gunung Ledang.
“Simbol tiga segi ini melambangkan gunung Ledang yang menjadi mercu tanda daerah ini selain mempunyai unsur-unsur sejarah berkaitan legenda Puteri Gunung Ledang serta kepahlawanan Melayu dan kehidupan warga Ledang yang berbilang kaum,” katanya. - Utusan
0 komen:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen yang diberikan.