Johor Bahru diasaskan pada 1855 apabila Temenggung Daeng Ibrahim Seri Maharaja membentuk pusat pentadbiran baru bagi negeri Johor. Ketika itu Johor Bahru dikenali sebagai Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri. Baginda telah membangunkan sebuah gedung di atas sebuah bukit yang dikenali sekarang sebagai Bukit Timbalan.
Di zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar, beberapa buah bangunan kerajaan, rumah pasung dan mahkamah telah didirikan. Beberapa orang pegawai juga telah dilantik bagi melicinkan pemerintahan ketika itu.
Pada tahun 1858, pejabat kerajaan di Teluk Belanga telah dipindahkan ke Iskandar Puteri. Bagi menjaga keamanan di sana, Sultan Abu Bakar telah mendirikan balai polis dan melantik sepupunya Raja Ahmad sebagai wakil pemerintah. Di bawah pemerintahan baginda yang bijak, negeri Johor sehari ke sehari bertambah maju dan bertambah hasilnya.
Sebagai kenang-kenangan terhadap rakyat dan bangsanya, pada hari Isnin, 1 Januari 1866, Tanjung Puteri atau Iskandar Puteri telah diubah namanya kepada Johor Bahru sebagai Ibu Negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor, menggantikan Teluk Belanga di Singapura.
Sultan Johor iaitu Temenggung Abu Bakar Seri Maharaja Johor bertanggungjawab mengubah nama Ibu Negeri. Baginda mengambil tindakan itu memandangkan Tanjong Puteri mempunyai kedudukan yang lebih baik dan lebih sesuai dari Teluk Belanga sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan serta cepat pula membangun.
Selepas dari tarikh itu, Johor Bahru atas daya usaha Maharaja Abu Bakar, yang dikenali sebagai 'Bapa Johor Moden' membangun dengan pesatnya. Di sinilah baginda Sultan Abu Bakar mentadbir Negeri mengikut cara pentadbiran Inggeris.
Di bawah pentadbiran baginda secara moden itu bandar Tanjong Puteri atau Johor Bahru berkembang dengan pesatnya sebagai pusat pentadbiran dan perniagaan. Pejabat-pejabat dan jabatan-jabatan kerajaan mula ditubuhkan.
Menjelang tahun 1866 Johor Bahru telah mempunyai Pejabat Setiausaha Kerajaan, Jabatan Perbendaharaan, Pejabat Audit, Mahkamah Besar, Pejabat Percetakan Kerajaan, Jabatan Kerja Raya, Polis, Pejabat Ukur, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran dan lain-lain.
Di bawah pemerintahan baginda juga, banyak bangunan bersejarah telah dibina di Johor Bahru. Antaranya ialah Istana Besar, Masjid Sultan Abu Bakar, Istanah Zaharah dan lain lain.
Kemudian pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim, Bangunan Setiausaha Kerajan Negeri (kemudian dikenali sebagai Bangunan Sultan Ibrahim) dan Tambak Johor telah dibina menghubungkan dengan Singapura.
Saban tahun, Johor Bahru terus pesat membangun dan kemudian, pada1 Januari 1994, Johor Bahru telah dinaiktaraf sebagai Bandaraya Johor Bahru dan Dataran Bandaraya Johor Bahru telah dibina sempena memperingati tarikh bersejarah tersebut.
[Sempena memperingati 1 Januari sebagai tarikh Tanjung Puteri diubah namanya kepada Johor Bahru (1866) & pengisytiharan Johor Bahru sebagai Bandaraya (1994)]
0 komen:
Post a Comment
Terima kasih di atas komen yang diberikan.