Social Icons

05 May 2012

Fiesta Kebudayaan Zapin Johor IPTA 2012 (FEKAZ) #28-29 April 2012

:: Assalamualaikum :: 

Setiap kali kita menyebut tentang kebudayaan negeri Johor, sudah pasti dalam ingatan kita semua akan membayangkan Zapin Johor sebagai suatu warisan budaya paling terkenal di Johor. Zapin yang semakin dimartabatkan dan diperkembangkan kini terus dikenali di seluruh negara, bahkan hingga ke peringkat antarabangsa. Negeri Johor adalah negeri yang masih mempertahankan seni zapin tradisional yang dinamik dan anggun. Semestinya, begitu simbolik Zapin dan Johor.


Sehubungan itu, sebagai usaha memartabatkan warisan budaya ini, kami di Gabungan Anak Johor (GAJ) IPTA melalui Ikatan Mahasiswa/i Johor (IKMAR) USM buat julung kalinya menganjurkan Fiesta Kebudayaan Zapin Johor IPTA (FEKAZ) 2012 bertempat di Universiti Sains Malaysia pada 28-29 April lalu.

FEKAZ adalah berbentuk pertandingan seni Zapin Johor yang berlangsung di Dewan Tunku Syed Putra dan bengkel asas zapin yang turut diadakan di Kompleks Cahaya.

Penganjuran ini adalah bertujuan untuk mengumpulkan anak-anak Johor seluruh IPTA melalui elemen kebudayaan selain untuk membangkitkan keprihatinan belia siswa Johor bagi mempromosi dan mengembangkan Kebudayaan Zapin yang sinonim dengan negeri Johor.

FEKAZ kali pertama ini mendapat penyertaan Siswa Siswi Johor daripada 7 buah IPTA (USM, UKM, UPM, UMT, UTHM, USIM dan UiTM Shah Alam), walaupun pada awalnya penyertaan dijangka daripada 12 buah IPTA dan beberapa IPTS yang menyatakan hasrat untuk menyertai. Namun pada saat-saat akhir, penyertaan terpaksa dibatalkan atas beberapa sebab, termasuk masalah pengangkutan bas dari kampus masing-masing.

Saya hadir menyertai FEKAZ atas jemputan khas sebagai penyelaras GAJ, dan juga mewakili Tuan penasihat GAJ yang tidak dapat hadir bersama.


Bertemakan "Kelestarian Semarak Kebudayaan", FEKAZ turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kerajaan Negeri Johor dan Yayasan Warisan Johor.

Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah dana untuk penganjuran julung kali ini dan majlis perasmian FEKAZ 2012 disempurnakan oleh Y.B. Tuan Hj Md Jais Sarday, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Johor.

Yayasan Warisan Johor telah memberikan kerjasama penuh dan bantuan kepada pihak IKMAR demi memastikan kejayaan program ini dengan menyediakan kumpulan zapin YWJ untuk persembahan di majlis perasmian, menjadi ketua juri pertandingan dan juga mengurus selia bengkel asas zapin.


Y.B. Tuan Hj Md Jais Sarday dalam ucapannya, turut menggesa dan berharap agar warisan budaya Johor ini dipelihara dengan sebaiknya dan dipromosikan semaksimumnya ke serata pelusuk dunia. Anak-anak Johor khususnya haruslah mempunyai pemahaman dan kesedaran tentang seni zapin ini agar tidak lapuk ditelan zaman, tambahan pula ia adalah identiti penting bagi Negeri Johor. 

Beliau juga menyeru kepada para mahasiswa khususnya Anak Johor agar kembali mencurahkan bakti dan kepakaran di negeri sendiri setelah tamat pengajian bagi membantu di dalam proses pembangunan negeri masing-masing. Pelajar universiti adalah tenaga pakar yang amat bermakna buat sesebuah negeri dan tenaga-tenaga baru ini dapat melonjakkan lagi keupayaan sesebuah negeri untuk lebih cemerlang.

"Kerajaan Johor sememangnya menawarkan pelbagai peluang pekerjaan untuk lepasan graduan yang berasal dari Johor dan pihak kerajaan negeri amat peka terhadap keperluan untuk membangunkan sumber intelek di negeri berkenaan. Lebih 40,000 peluang sedang menanti bakal-bakal graduan tempatan dan ini adalah satu peluang yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak Johor. Jadi, kerajaan amat memerlukan anda semua bagi membantu memacu ekonomi Johor seterusnya memastikan Iskandar Malaysia terkenal di seluruh dunia", tambah beliau.


Secara peribadi, saya amat memuji keprihatinan Y.B. Md Jais yang sedia menerima jemputan untuk menghadiri dan merasmikan FEKAZ. Sahabat saya di dalam GAJ, Saudara Syukri Sa'adon yang juga sebagai penasihat teknikal IKMAR memaklumkan, bahawa jemputan itu hanyalah secara tidak rasmi iaitu melalui Facebook Y.B. Md Jais. Tanpa jemputan melalui surat rasmi, beliau menyatakan persetujuan untuk "terbang" ke Pulau Mutiara bagi memenuhi jemputan itu dan apabila waktu yang dinantikan, beliau tiba di airport dan dijemput oleh Pengarah Projek FEKAZ, Saudara Azwie. Dan sekali lagi saya dimaklumkan, bahawa Y.B. "terbang" ke Penang hanya seorang diri, tanpa ditemani isteri mahupun pegawai atau pembantu peribadi.

Bagi saya, itu adalah sesuatu yang jarang berlaku dalam kalangan mana-mana pemimpin dan ini amat positif serta jelas menunjukkan cara atau pendekatan beliau. Seorang pemimpin Johor bertaraf Exco, berseorang diri dari Johor menghadiri program rasmi di Pulau Pinang. Dua "pendekatan mesra belia" dalam satu program dan bagi kami semua, beliau adalah seorang pemimpin muda yang begitu dekat dengan belia Johor.  Hal ini patut dilakukan juga oleh pemimpin-pemimpin lain. Terima kasih Y.B! Sudi hadir merasmikan FEKAZ walaupun pada masa yang sama anak Y.B. turut menari zapin secara langsung di dalam program ASTRO. Dalam ucapan beliau turut menyatakan kali terakhir beliau menjejakkan kaki di USM ialah pada 18 tahun yang lalu !



TAHNIAH KEPADA PARA PEMENANG ! 
Johan; Siswa Anak Johor UiTM (Shah Alam), Naib Johan; Sekretariat Anak Johor (SOHOR), Universiti Malaysia Terengganu, dan Tempat Ketiga; Siswa Anak Johor Universiti Sains Islam Malaysia.



Saya selaku penyelaras GAJ IPTA melihat penganjuran ini merupakan satu lagi kejayaan besar Mahasiswa Johor kerana FEKAZ muncul sebagai program mega ketiga yang dianjurkan di bawah GAJ pada tahun 2012 ini, selepas Karnival Sukan Anak Johor Siri Ke-2 di UTM Skudai pada Mac lalu dan Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar di Johor Bahru pada awal April lepas.

Kesemua program mega ini akan terus dilaksanakan secara bergilir oleh setiap Persatuan Mahasiswa Johor yang sedia wujud di IPT.

Saya bersama (dari kiri) Safiq Suhami (YDP IKMAR USM), Syukri Sa'adon (Penasihat Teknikal) dan Kamarul Azwie (Pengarah Projek FEKAZ). 

SYABAS dan TAHNIAH kepada IKMAR USM selaku penganjur rasmi FEKAZ 2012. Tahniah juga kepada semua peserta Mahasiswa Johor dari UKM, UPM, UMT, UTHM, USIM dan UiTM.

Delegasi IKMAR USM

Delegasi PERMAJ UKM

Delegasi PERKASA JOHOR UPM

Delegasi SOHOR UMT

Delegasi Siswa Johor USIM

Delegasi UiTM Shah Alam

Delegasi Siswa Johor UTHM

INSYA-ALLAH, penganjuran akan datang bakal dilaksanakan pula oleh rakan-rakan dari Persatuan Kebajikan Anak Negeri Johor (PERKASA JOHOR), Universiti Putra Malaysia.

" KELESTARIAN SEMARAK KEBUDAYAAN " 

----> Layan video FEKAZ ni...



6 komen:

  1. wahhh da buat entry pasal fekaz!
    hewhewhew

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehehe..entry wajib ni..
      ala nanti ada jgk kt blog dia tu~

      Delete
  2. PERMAJ UKM tak menang ke??? hehehe..

    http://mohdfaizulosman.blogspot.com/2012/05/andainya-rasulullah-masih-ada-ingin.html

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe..menang bukan harapan. janji ada penyertaan utk sama2 dgn anak2 Johor universiti lain..

      Delete
  3. sepet pun berzapin gak ke? HAHAHA!!!

    ReplyDelete

Terima kasih di atas komen yang diberikan.




 

Blog-blog ceria

PENAFIAN

Laman web ini dan bahan yang disediakan "sebagaimana adanya" dan "sebagaimana tersedia", tanpa jaminan jenis apapun, sama ada tersirat atau tersurat mahupun dari segi undang-undang. Penulis tidak bertanggungjawab ke atas setiap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan setiap maklumat atau bahan yang diperolehi dari laman web ini.